Tuesday, July 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Cuaca aktif hingga 26 Mei

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Keadaan cuaca Negara Brunei Darusalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang, disebabkan pembentukan sistem tekanan udara rendah berdekatan dengan negara yang menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil, dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) menyatakan, cuaca aktif dijangka bermula hari ini sehingga 26 Mei, dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan negara.

    Manakala itu, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa hujan lebat atau berpetir. Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, antara 0.3 dan 0.6 meter.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BDMD memaklumkan bahawa negara pada masa ini masih berada dalam tempoh peralihan monsun.

    Sepanjang tempoh berkenaan, keadaan cuaca di negara ini dipengaruhi oleh kesan angin tempatan, yang mana pada lazimnya berlaku hujan atau hujan berpetir di kawasan pedalaman negara pada waktu petang dan menjejaskan pesisiran serta perairan negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi.

    Gambar fail Muiz Matdani

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir, tanah runtuh di India ragut 16 nyawa

    GUWAHATI, 2 JULAI – Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dalam tempoh dua minggu lalu di...