Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula 6 hingga 8 Oktober dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka melanda kebanyakan kawasan negara dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Sementara itu di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit dengan ketinggian antara 0.3 meter (m) dan 0.8m, menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Jabatan tersebut turut menyatakan negara ketika ini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu selepas monsun barat daya dan sebelum memasuki monsun timur laut dengan tempoh peralihan itu dijangka berterusan sehingga hujung November 2023.
Sepanjang tempoh itu, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.
Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun tersebut berbanding bulan lain.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Jabatan itu turut menyatakan kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga berisiko berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai termasuk pemandu jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Selain itu, maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau hubungi peramal cuaca menerusi talian cuaca 114 dan layari media-media sosial BDMD.

