Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif hingga 9 Jun

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan pembentukan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan negara yang menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Keadaan cuaca aktif dijangka bermula pada 6 hingga 9 Jun dengan hujan lebat dan berpetir sekali-skala dijangka menjejaskan beberapa kawasan negara.

    Manakala kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam semasa hujan lebat atau berpetir dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana di antara 0.5 hingga 1.5 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMB), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan turut menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun barat daya yang pada lazimnya akan berterusan sehingga September.

    Semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.

    Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif di mana terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan ketika kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMB serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMB akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWeather.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda