Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangkakan akan terus aktif sehingga 12 September dengan hujan lebat berpetir berlaku sekali-sekala yang akan menjejaskan kebanyakan kawasan di negara ini.
Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam (kmsj) semasa atau dekat hujan lebat dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras antara 0.4 dan 0.8 meter.
Maklumat cuaca itu dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Jabatan turut menyatakan bahawa negara pada masa ini masih berada dalam monsun barat daya di mana angin barat daya masih dominan dengan atmosfera stabil.
Walau bagaimanapun, keadaan cuaca masih diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan keadaan atmosfera yang lembap di rantau ini yang meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Stesen Pencerapan Kaji cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 148.2mm sejak 1 September di mana jumlah itu telah mencapai lebih separuh daripada jumlah turunan hujan normal bagi September 1991 hingga 2020 iaitu 235.1mm.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif, dengan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Jabatan turut menyatakan bahawa kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin serta laut bergelora adalah merbahaya bagi bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi serta sukan laut.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Keadaan cuaca akan terus dipantau, menurut BDMD.
