Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif sehingga 22 Oktober

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Keadaan cuaca aktif diramalkan bermula malam ini (17 Oktober) sehingga awal pagi 22 Oktober dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan negara terutama pada waktu petang dan malam.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir, manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 1 meter.

    Ramalan cuaca itu dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Menurut BDMD, secara am, cuaca negara pada masa ini berada dalam tempoh peralihan monsun yang mana ia dijangka berterusan sehingga hujung November 2023.

    Sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.

    Gambar Freepik

    Cuaca aktif dijangka berlaku pada beberapa hari yang akan datang disebabkan pertembungan sistem tekanan rendah di rantau ini dengan kesan angin tempatan yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Sehubungan itu, jabatan tersebut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Risiko pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan tersebut akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn, laman Facebook dan Instagram, @brunei.weather atau saluran Telegram, Brunei Weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda