Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangka aktif berterusan sehingga 23 November dengan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan beberapa kawasan negara terutama pada waktu petang dan malam dengan kelajuan angin sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Sementara itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana dengan ketinggian ombak di antara 0.6 meter hingga 1.8 meter.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, menyatakan Negara Brunei Darussalam telah memasuki monsun timur laut, yang lazimnya akan berterusan sehingga Mac 2026.
BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

Pada masa yang sama, keadaan laut di paras sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai terutama para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu di mana maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi bimbit Brunei WX.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram serta WhatsApp Brunei Weather.
