Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Negara Brunei Darussalam telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu selepas monsun timur laut dan sebelum memasuki monsun barat daya di mana tempoh tersebut dijangka berterusan sehingga hujung Mei.
Sepanjang tempoh berkenaan, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun berbanding bulan-bulan yang lain.
Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi April ialah 16 hari dan bagi Mei selama 18 hari.
Sepanjang tempoh ini, negara lazimnya akan mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari.
Selain itu, ribut petir juga akan berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Di samping, turut dijangka tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah barat laut pada waktu petang manakala keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau hubungi peramal cuaca di Pusat Ramalan Cuaca melalui 114, layari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram, @brunei.weather.