Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca buruk dijangka jejas sambutan Tahun Baharu di UK

    LONDON, 31 DIS – Cuaca buruk dijangka memberi kesan kepada perayaan Tahun Baharu di United Kingdom (UK), dengan penganjur Parti Jalanan Hogmanay Edinburgh membatalkan
    acara tersebut atas alasan keselamatan awam.

    Perayaan Edinburgh, yang menjadi tarikan pelancong utama dan menarik kira-kira 30,000 orang tahun lalu, sepatutnya menampilkan pertunjukan bunga api dan konsert yang diterajui oleh kumpulan muzik Scotland, Texas.

    Namun, penganjur berkata ia tidak selamat untuk meneruskan persiapan acara luar yang dijadualkan kelmarin dan malam Tahun Baharu hari ini kerana ‘angin kencang berterusan dan cuaca buruk’.

    Pertunjukan bunga api Tahun Baharu yang dirancang di bandar peranginan Blackpool di barat laut England juga dibatalkan disebabkan ramalan angin kencang, kata majlis tempatan.

    Agensi Perlindungan Alam Sekitar Scotland (Sepa) mengeluarkan amaran banjir teruk yang jarang berlaku, memberi amaran ‘ancaman nyawa’ untuk beberapa kawasan di Scotland.

    Gambar AFP

    Sepa berkata hujan lebat dijangka menyebabkan tebing sungai pecah di Aviemore di utara Scotland dan kawasan sekitarnya di Dataran Tinggi Scotland.

    “Akibat hujan lebat berterusan, paras air di Sungai Spey akan meningkat sepanjang malam kelmarin dan pagi ini, menyebabkan banjir serius,” kata mereka.

    “Banjir meluas di kawasan hartanah dan perniagaan dijangka berlaku di sekitar Aviemore.”

    Pejabat Meteorologi UK (Met Office) pula menyatakan hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Scotland, Ireland Utara dan utara England.

    Beberapa salji juga dijangka turun di beberapa bahagian Scotland.

    “Satu siri sistem tekanan rendah akan melintasi UK dalam beberapa hari akan datang membawa cuaca yang berpotensi memberikan kesan teruk,” kata ahli meteorologi Met Office, Steve Willington.

    “Hampir keseluruhan UK kini berada di bawah sekurang-kurangnya satu amaran cuaca sepanjang minggu akan datang,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda