KAPIT, 4 MAC – Serpihan kayu yang terus hanyut di kawasan tadahan air di hulu Sungai Katibas ketika cuaca buruk, meresahkan penduduk berhampiran yang bimbang jika banjir kilat yang berlaku kira-kira 11 malam Sabtu lepas, akan berulang.
Perkara itu dinyatakan Tuai Rumah, Stephen Tanang, yang rumah panjangnya terletak di Nanga Terusa, penempatan Iban kedua terjauh di sepanjang Sungai Katibas yang terletak kira-kira 42.35 kilometer dari bandar Song.
“Air sungai keruh dan parasnya semakin meningkat. Terdapat banyak serpihan kayu yang hanyut ke hilir sungai. Langit di hulu sungai kelihatan gelap,” katanya dalam pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini. Stephen adalah antara tiga orang yang menghuni rumah panjang itu kerana penduduk lain tinggal di bandar Song dan tempat lain.
Seorang lagi penduduk rumah panjang berkenaan, James Gasing yang kini berada di Sibu, khuatir kayu yang hanyut itu akan membentuk semula ekosistem Sungai Katibas menyebabkan ia tidak dapat dilalui bot, satu-satunya pengangkutan untuk penduduk di Ulu Katibas.
”Sekiranya serpihan kayu menghalang laluan air, penduduk yang tinggal di sepanjang sungai tidak dapat pergi ke mana-mana. Tiada jalan yang menghubungkan mereka ke bandar Song,” katanya.
Banjir kilat yang berlaku Sabtu lepas disedari Tuai Rumah, Sapai Ajom yang rumah panjangnya terletak di Nanga Ngeranau, satu kilometer ke hulu sungai dari rumah panjang Stephen.
Dengan adanya perkhidmatan Internet, Sapai dapat memberi amaran kepada ketua rumah panjang yang lain di hilir sungai untuk bersiap sedia menghadapi banjir kilat, melalui mesej WhatsApp.
Stephen berkata beliau dan penghuni lain dapat menyelamatkan padi yang baru dituai, enjin sangkut, peralatan elektrik dan barangan lain ke tingkat atas rumah panjang mereka.
“Ketika itu ialah malam yang panjang dan memenatkan. Kami cuba menyelamatkan seberapa banyak barangan yang boleh. Jalan papan kami rosak disebabkan arus yang kuat dan hampir kehilangan sebuah bot,” katanya. – Bernama