BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangka aktif hingga 18 November ini.
Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini, hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan beberapa kawasan negara terutama pada waktu petang dan malam, dengan kelajuan angin sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Pada amnya, negara pada masa ini masih berada di dalam fasa peralihan monsun, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung bulan November 2025.
Keadaan laut di perairan Brunei pula berombak di paras sederhana, dengan ketinggian ombak di antara 0.6 hingga 1.2 meter.
Sehubungan dengan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Keadaan laut diparas sederhana berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh jabatan itu dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram serta WhatsApp Brunei Weather.

