Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hari ini hingga 4 Disember

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Keadaan cuaca diramalkan aktif bermula esok hingga 4 Disember, disebabkan oleh pembentukan awan hujan yang aktif di rantau negara kita yang menyebabkan peningkatan aktiviti turunan hujan.

    Selain itu, kelajuan angin juga dijangka akan meningkat sehingga 40kmsj semasa atau dekat hujan lebat atau hujan berpetir.

    Manakala di perairan Brunei, keadaan laut di paras sederhana dengan ketinggian ombak mencapai 1.5m pada hujung minggu ini, menurut kenyataan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

    Negara kita juga sekarang berada di penghujung monsun peralihan, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian.

    Semasa tempoh peralihan ini, cuaca pada lazimnya cerah pada waktu pagi dengan hujan dan ribut petir berlaku terutama di pedalaman pada sebelah petang dan bergerak ke kawasan pesisiran dan laut pada waktu malam yang kadang-kala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.

    Sehubungan dengan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Menurut BDMD, terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda