Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula esok hingga 10 Disember, disebabkan kombinasi pengaruh luruan angin timur laut dan beberapa kawasan tekanan rendah di kawasan rantau ini yang meningkatkan pembentukan awan hujan serta seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan.
Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40 kilometer sejam semasa atau dekat hujan lebat atau ribut petir. Manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut berombak di paras sedikit sehingga sederhana dengan ketinggian ombak di bawah paras 1.5 meter.
Keadaan cuaca negara itu dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Jabatan itu menyatakan lagi bahawa negara sekarang berada di fasa pertama monsun timur laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-skala berlaku pada waktu malam hingga ke awal pagi.
Dalam hubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.