Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hingga 13 Januari

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula 7 hingga 13 Januari dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan persisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam serta di kawasan pedalaman negara pada waktu petang dengan kelajuan angin sehingga 45 kilometer sejam semasa atau dekat hujan.

    Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora, antara 1 sehingga 2.5 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam monsun timur laut yang pada lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac.

    Semasa tempoh separuh pertama monsun timur laut iaitu sehingga Januari, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu Februari dan Mac, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca terkini yang diramalkan aktif hingga 13 Januari ini. Hujan lebat dan berpetir juga dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan persisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam. – GAMBAR OLEH WONG CHEE PENG
    Gambar Pexel

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut di paras sederhana ke bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan juga menyatakan bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram, BruneiWeather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda