Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hingga 17 Dis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Keadaan cuaca negara diramalkan aktif bermula esok hingga 17 Disember disebabkan oleh pengaruh luruan angin timur laut dan pembentukan kawasan tekanan rendah di kawasan rantau ini.

    Keadaan itu lazimnya meningkatkan pembentukan awan hujan dan seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan di negara kita, menurut kenyataan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini.

    Selain itu, hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

    Manakala di perairan Brunei, keadaan laut adalah berombak di paras sedikit hingga sederhana, dengan ketinggian ombak di paras 0.6 meter hingga 1.4 meter.

    Secara amnya, keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam fasa pertama monsun timur laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau ribut petir sekali-sekala berlaku pada waktu malam hingga ke awal pagi.

    Negara Brunei Darussalam diramalkan mengalami keadaan cuaca aktif hingga 17 Disember.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    BDMD turut menasihatkan orang ramai termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan me-ngeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Ramalan Cuaca di talian 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @brunei.weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda