Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hingga 22 Ogos

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini hingga 22 Ogos dengan hujan atau hujan berpetir kadangkala lebat serta berangin kencang dijangka berlaku hingga menjejaskan kebanyakan kawasan, dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

    Sementara itu, keadaan laut berombak sedikit dengan ketinggian di paras antara 0.5 meter hingga 1.0 meter, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, negara pada masa ini berada di dalam monsun barat daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga September 2025.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Pada masa yang sama, kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran WhatsApp dan Telegram (Brunei Weather).

    Keadaan cuaca negara yang diramalkan hujan dan berangin sehingga 22 Ogos. – GAMBAR FAIL RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda