Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hingga 27 Januari

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini sehingga 27 Januari dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kebanyakan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam.

    Cuaca aktif juga dijangka berlaku di kawasan pedalaman negara pada waktu petang dengan kelajuan angin sehingga 50 kilometer sejam (kmj) semasa atau dekat hujan.

    Sementara keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora antara 1.5 sehingga 2.5 meter.

    Maklumat keadaan cuaca berkenaan dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan Brunei pada masa ini berada dalam monsun timur laut yang lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac.

    Semasa tempoh separuh pertama monsun timur laut, iaitu sehingga Januari, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu Februari dan Mac, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut di paras sederhana ke bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Dalam pada itu, orang ramai termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Pihak jabatan turut menyatakan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX atau juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau layari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather atau di saluran Instagram @brunei.weather dan Telegram iaitu Brunei Weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda