Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif hingga 7 November

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa peralihan monsun, yang lazimnya akan berterusan sehingga bulan November tahun ini.

    Pada jam 11 pagi waktu tempatan hari ini, Ribut Tropika Ganas Kalmaegi telah dinaik taraf ke Taufan Kalmaegi di koordinat 10.3°N 128.0°E, sekitar 1,500km jauh dari Negara Brunei Darussalam.

    Taufan Kalmaegi diramalkan akan bergerak ke arah barat, dan menjauhi negara.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Taufan Kalmaegi dijangka secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca negara.

    Keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku pada bermula 4 hingga 7 November.

    Keadaan cuaca tersebut akan melibatkan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir beserta angin kencang dijangka menjejaskan kawasan laut dan beberapa kawasan negara, dengan kelajuan angin sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

    Gambar Pexel

    Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.6 meter hingga 1.6 meter.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan atap terbang semasa keadaan berangin kencang.

    Kejadian tanah susur dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai juga boleh berlaku semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Keadaan laut diparas sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Pihak BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda