Wednesday, December 18, 2024
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif sehingga 24 Disember

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula esok, 19 hingga 24 Disember dengan hujan berpetir kadang-kala lebat dan berangin kencang berlaku sekali-skala serta dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara terutama pada waktu petang dan sebelah malam serta berpotensi berlanjutan ke awal pagi keesokan hari.

    Keadaan berkenaan disertai dengan kelajuan angin yang boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebar atau berangin kencang.

    Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora, mencapai sehingga 3.0 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa negara pada masa ini berada dalam Monsun Timur Laut yang pada lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2025.

    Semasa tempoh separuh pertama Monsun Timur Laut, iaitu sehingga Januari 2025, yang mana juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan dengan petir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut iaitu Februari 2025 dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut bergelora yang berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan sentiasa terus memantau keadaan cuaca serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda