Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif sehingga 9 Sept

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini, 3 hingga 9 September dengan hujan sekali skala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit iaitu di antara 0.5 meter hingga 1.0 meter, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, hari ini.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada di dalam Monsun Barat Daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga September 2025.

    Dalam hubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Pada masa yang sama, kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX yang menyediakan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang terkini.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Whatsapp dan Telegram kami (Brunei Weather).

    Cuaca diramal aktif sehingga 9 September. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda