Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini, 16 Mac sehingga Jumaat, 21 Mac dengan hujan kadang-kala lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kawasan pedalaman pada waktu petang dan berpotensi merebak ke kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam dan awal pagi dengan kelajuan angin sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di antara 0.5 meter hingga 1 meter sehingga 18 Mac dan dijangka meningkat ke paras sederhana ke bergelora dengan ketinggian 1.6 meter hingga 3.5 meter bermula 19 Mac hingga 21 Mac.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, disini, menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung Monsun Timur Laut yang lazimnya berterusan sehingga penghujung Mac.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan juga semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai khususnya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit, Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal
cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).
