Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal aktif, tingkat kewaspadaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Keadaan cuaca masih diramalkan aktif sehingga 31 Januari ini dengan hujan kadangkala lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kawasan pedalaman pada waktu petang dan berpotensi merebak ke kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam dan awal pagi.

    Menurut Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya hari ini, kelajuan angin juga boleh mencecah sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan, manakala keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora antara 1.0 sehingga 3.0 meter.

    Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung fasa separuh pertama monsun timur laut yang dikenali sebagai musim tengkujuh, yang mana negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu Februari dan Mac tahun ini, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku kerana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang. Keadaan laut bergelora juga berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Dalam pada itu, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    DMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca menerusi aplikasi bimbit Brunei WX atau boleh hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau layari Iaman sesawang www.met.gov.bn, Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (BruneiWeather).

    GAMBAR OLEH FOTOGRAFER AMATUR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda