Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal hujan pada perlumbaan GP Malaysia 2023

    SEPANG, 9 NOV – Keadaan cuaca pada hari perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023 hujung minggu ini diramal hujan pada sebelah petang.

    Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya telah bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk perubahan jadual perlumbaan seperti berlaku di GP Australia sebelum ini.

    “Peluang tinggi untuk hujan (hujung minggu ini) dan macam-macam boleh berlaku, ada kalanya bila diramal hujan, tiba-tiba ia tidak berlaku.

    “Saya harap agar pada Sabtu dan Ahad, keadaan cuaca mengizinkan untuk perlumbaan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan ping pong antara pelumba MotoGP dan dua pemain kebangsaan Choong Javen dan Ho Ying, serta pengamal media dan pempengaruh media sosial di sini hari ini.

    Antara pelumba MotoGP yang memeriahkan acara itu Alex Marquez (Gresini Racing), Luca Marini (Mooney VR46), Raul Fernandez dan Miguel Oliveira (RNF MotoGP Racing).

    Pada bulan lepas, perlumbaan GP Australia di Litar Philip Island terpaksa dilangsungkan sehari lebih awal kerana cuaca hujan.

    Sementara itu, Azhan Shafriman berkata sebarang perubahan jadual perlumbaan tertakluk kepada keputusan Dorna Sports yang merupakan pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.

    “Perkara utama kita perlu ambil kira ialah keselamatan pelumba. Jika hujan terlalu lebat dan permukaan litar tak selamat, mungkin Dorna Sports akan putuskan,” katanya.

    Beliau memaklumkan sebanyak 85 peratus tiket GP Malaysia telah terjual dan pihaknya menjangkakan jualan terus meningkat sehingga hari perlumbaan pada Ahad. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda