Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca diramal masih aktif, berisiko cetus banjir kilat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Berikutan kejadian ribut petir yang berlaku semalam dan menjejaskan kebanyakan kawasan negara, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) telah mengeluarkan amaran cuaca berwarna merah yang bermaksud risiko tinggi iaitu saranan untuk mengambil tindakan yang tertentu.

    Dalam pada itu, keadaan cuaca juga masih diramalkan aktif sehingga 27 Januari ini dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kebanyakan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam, serta di kawasan pedalaman pada waktu petang.

    Di samping itu, kelajuan angin dijangka mencecah sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras antara 0.5 sehingga 1.5 meter.

    BDMD dalam kenyataannya hari ini juga mengongsikan Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan tertinggi sehari bagi bulan ini iaitu sebanyak 103.2mm.

    Jumlah tersebut telah mencapai sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan turunan hujan secara purata bagi bulan Januari, hanya dalam masa kejadian satu hari.

    Gambar Bernama

    Manakala, Stesen Cuaca Automatik Kebangsaan di tiga kawasan iaitu Anggerek Desa, Bandar Seri Begawan dan Benutan merekodkan jumlah turunan hujan masing-masing sebanyak 193mm, 142mm dan 113.2mm.

    Pada amnya, keadaan cuaca negara pada masa ini berada di penghujung fasa separuh pertama monsun timur laut, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh dan kadangkala tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Sehubungan dengan itu, BDMD turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang, manakala keadaan laut di paras sederhana juga berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda