Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam yang aktif diramalkan berterusan sehingga 3 Februari dengan hujan kadangkala lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-skala menjejaskan kawasan pedalaman pada waktu petang dan berpotensi merebak ke kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam dan awal pagi dengan kelajuan angin sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, antara 0.4 sehingga 1.2 meter.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa negara pada masa ini berada di penghujung fasa pertama Monsun Timur Laut yang mana juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh dengan negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut di paras sederhana ke bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.