Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca ekstrem ancam Lada Kampot

    KAMPOT, KEMBOJA – Petani, Chhim Laem menggelengkan kepalanya ketika dia berjalan antara deretan panjang pokok mati, daun perangnya hangus akibat panas dan kemarau yang telah memusnahkan tanaman lada Kampot yang terkenal di Kemboja.

    Dikenali dengan rasa bunga yang pekat, lada Kampot dihargai oleh cef-cef terkemuka di seluruh dunia dan dijual sehingga AS$200 sekilo.

    Ditanam selama beberapa generasi di dua wilayah di barat daya Kemboja, industri lada itu terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai Khmer Rouge dan berdekad-dekad ketidakstabilan, tetapi kini berdepan ancaman cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim.

    “Tahun ini sangat panas, tiada hujan, dan kami tiada air untuk menyiram pokok lada,” kata Laem kepada AFP. “Jadi semuanya mati.”

    Asia Selatan dan Tenggara telah dilanda kepanasan dalam beberapa minggu kebelakangan di bawah suhu rekod, dengan kerajaan-kerajaan menutup sekolah, orang mati akibat strok haba dan petani berdoa memohon hujan.

    Gambar diambil pada 8 Mei lalu menunjukkan Chhim Laem memetik biji lada daripada pokok lada yang mati di ladangnya di wilayah Kampot. – AFP
    Mok Yen melihat tanaman lada yang mati di ladangnya. – AFP
    Gambar udara yang diambil pada 7 Mei menunjukkan ladang lada di wilayah Kampot, Kemboja. – AFP
    Gambar yang diambil pada 7 Mei menunjukkan seorang petani sedang menyusun lada di sebuah ladang. – AFP
    Seorang petani, Chan Deng menunjuk ke arah paras air rendah sebuah kolam di ladang ladanya. – AFP
    Seorang pekerja menyembur air pada pokok lada di sebuah ladang di wilayah Kampot. – AFP
    Gambar AFP

    Para saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.

    Di beberapa bahagian Kemboja, merkuri hampir mencecah 43 darjah Celcius pada akhir April, selepas kemarau enam bulan yang mendorong petani ke titik kemusnahan.

    Kesemua 264 pokok lada Laem musnah, jelas lelaki berusia 55 tahun itu, berikutan kekurangan air dan cuaca panas.

    Pengeluaran telah berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dirangsang oleh Kesatuan Eropah (EU) yang memberikan rempah itu ‘petunjuk geografi yang dilindungi’ pada 2016, bermakna hanya lada yang ditanam di kawasan yang ditetapkan boleh digelar Kampot.

    Wilayah Kampot menghasilkan kira-kira 120 tan lada biji tahun lepas, tetapi petani mengatakan bahawa haba dan hujan yang berlebihan telah menjadikan 2024 sebagai yang paling teruk dalam rekod.

    Laem memperoleh kira-kira AS$1,000 daripada ladangnya tahun lepas, tetapi berkata dia menjangkakan hanya sebahagian daripada jumlah itu sekarang.

    “Saya sangat sedih, tetapi saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

    Nguon Lay merupakan petani lada generasi keempat, menuai sembilan tan daripada ladangnya yang berdekatan seluas lima hektar tahun lepas.

    Tetapi petani berusia 71 tahun itu menjangkakan tidak akan menuai apa-apa tahun ini.

    “Tahun ini kita menghadapi halangan terbesar,” katanya sambil meneliti pokok lada yang hampir mati.

    Hujan lebat memusnahkan bunga tumbuhan itu pada awal musim, dengan lebih
    banyak yang mati dalam kemarau berpanjangan yang menyusul.

    “Jadi ini adalah tahun yang paling teruk. Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kami melihat masalah, tetapi kami tidak dapat menyelesaikannya,” kata Lay.

    Seperti petani-petani lain, Lay berkata dia tahu masalah datang daripada cuaca dan persekitaran.

    Beberapa kolam yang digunakan untuk menyiram tanamannya telah kering, dan pekerjanya hanya menyiram tanaman lima hari sekali.

    “Kami telah bersedia. Kami tahu tentang perubahan iklim, kami telah menyimpan air, kami membina bumbung untuk melindungi lada kami daripada cuaca panas, tetapi ia tidak mencukupi.”

    “Banyak pokok lada yang hampir mati,” katanya sambil menambah dia tidak lagi pergi ke ladang kerana ia terlalu menyakitkan.

    “Tahun ini kami fikir kami tidak akan mendapat apa-apa,” katanya sambil menambah bahawa sedikit yang boleh dituai adalah apda kualiti yang lebih rendah kerana cuaca.

    Lada Kampot mendapat pujian global semasa penjajahan Perancis di Kemboja apabila ia dieksport secara meluas, tetapi industri itu hampir dihapuskan semasa era Khmer Rouge.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah bangkit semula, menghiasi menu-
    menu restoran trend di seluruh dunia.

    Lada datang dalam pelbagai jenis hijau, hitam, merah dan putih, warna berubah apabila kematu masak, dengan hijau yang paling muda dan putih yang paling matang.

    Lay berkata, pengguna tidak tahu tentang kesukaran yang dihadapi petani Kampot, tetapi mereka akan melihat kesannya tidak lama lagi.

    “Untuk 2024 dan 2025, kami tidak akan mempunyai lada yang banyak untuk mereka makan,” katanya.

    “Ia adalah sifar!”

    Kann Sinouch, presiden Persatuan Promosi Lada Kampot, berkata beliau menjangkakan hasil lada tahun ini akan kurang separuh, dan memberi amaran tentang kekurangan eksport pada 2025.

    Beliau memberitahu AFP, perubahan cuaca bermakna petani tidak dapat mengembangkan ladang-ladang mereka, dan sebaliknya terus bergelut mengekalkan tumbuhan sedia ada untuk hidup.

    Tetapi Chan Deng, yang telah menanam lada sejak tahun 1960an, berkata dia tidak akan menyerah kepada cuaca yang tidak menentu. “Tahun ini, peliknya panas,” kata Deng, 67.

    Hasil ladanya menjunam daripada 300 kilogram (kg) tahun lalu kepada sekitar 10kg pada 2024, dengan 20 peratus tanamannya mati akibat cuaca panas.

    Tetapi Deng berkata beliau akan menggali lebih banyak kolam untuk menyimpan air, berharap dalam tiga tahun hasil yang baik akan kembali.

    Dalam pada itu, beliau berkata, “kita akan melawan alam semula jadi”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda