Thursday, October 17, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca luar biasa dijangka jejas aktiviti ekonomi Asia Tenggara

    HANOI, 16 OKT – Asia Tenggara dijangka mengalami hujan lebih lebat berbanding biasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

    Ia berpotensi menjejaskan sektor pertanian, pelancongan dan pengeluaran industri di rantau ini yang sudah pun terkesan akibat beberapa siri ribut tahun ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Pusat Meteorologi Khas ASEAN.

    Ahli meteorologi meramalkan keadaan lebih lembap di kawasan Filipina hingga Vietnam sehingga November, terutamanya disebabkan oleh fenomena La Nina, yang membawa lebih banyak hujan ke rantau itu.

    Keadaan ini berkemungkinan mengganggu usaha pemulihan di Vietnam, yang baru sahaja dilanda Taufan Yagi pada September lalu.

    Taufan itu dikatakan paling dahsyat dalam tempoh beberapa puluh tahun, dengan kerosakan dianggarkan melebihi 81 trilion VND (hampir AS$3.3 bilion).

    Gambar Envato

    Thailand, yang bergantung kepada sektor pelancongan mengalami kerugian sebanyak 30 bilion THB (AS$904 juta) akibat banjir di kawasan Utara.

    Fenomena La Nina dijangka berlaku dari Oktober hingga November 2024, dengan peningkatan hujan di beberapa negara di rantau ini, menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN.

    Singapura mengeluarkan amaran banjir kelmarin kerana tempoh monsun membawa kilat dan ribut petir ke negara itu.

    Agensi cuaca Filipina meramalkan sebahagian besar kepulauan itu mengalami hujan melebihi purata sehingga hujung tahun dan 160 peratus melebihi purata pada Januari.

    Peningkatan kekuatan siklon tropika di Lautan Pasifik mendorong perniagaan dan kerajaan di rantau ini untuk mempertimbangkan pendekatan baharu bagi melindungi daripada ribut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda