Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang bermula 20 hingga 23 Jun dengan hujan lebat, angin kencang sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam semasa atau dekat hujan lebat.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora, di antara satu hingga tiga meter terutamanya di kawasan lepas pantai.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, turut menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun barat daya yang pada lazimnya akan berterusan sehingga September.
Semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera negara pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan kedaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku memandangkan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian demi keselamatan semua.


