Sunday, June 23, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Cuaca negara diramal aktif hingga 19 Jun

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Keadaan cuaca di negara ini diramalkan aktif bagi beberapa hari yang akan datang mulai 15 sehingga 19 Jun di mana hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan.

    Manakala kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam semasa atau hujan lebat berpetir dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMB), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun barat daya yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.

    Semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan.

    Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh tersebut.

    Gambar fail Muiz Matdani

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di  kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu kejadian tanah  susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan,  nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat  perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang aaaabertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @brunei.weather serta saluran Telegram, BruneiWeather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia bantu tingkat kesediaan penyakit serantau

    CANBERRA, 21 JUN – Agensi sains kebangsaan Australia akan membantu negara-negara di Pasifik dan Asia Tenggara agar lebih bersedia menghadapi wabak penyakit, umum kerajaan...