Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Negara Brunei Darussalam dijangkakan mengalami keadaan cuaca tidak menentu untuk beberapa hari yang akan datang disebabkan pertembungan luruan angin sejuk dengan satu sistem tekanan rendah berdekatan dengan negara yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca tidak menentu berkenaan dijangka bermula pada esok sehingga 24 Disember dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala berlaku dan terutama di kawasan pedalaman pada lewat petang dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebar berpetir.
Sementara itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana ke bergelora dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 2 meter.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa negara pada masa ini berada dalam monsun timur laut dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2024.
Dalam tempoh dua bulan pertama monsun timur laut iaitu Disember 2023 dan Januari 2024, juga dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya menerima turunan hujan yang banyak dan merekodkan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Semasa tempoh itu, negara mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal
pagi.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin dengan keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi serta sukan laut.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram, @bruneiweather serta saluran Telegram, BruneiWeather.

