Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca panas: 500 orang asli Pos Lebir bimbang air tandak kering

    GUA MUSANG, 1 MEI – Kira-kira 500 penduduk Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, dekat sini, gusar apabila air tadahan bukit yang menjadi sumber keperluan mereka semakin kering akibat cuaca panas ketika ini.

    Kampung Pasir Linggi terletak di kawasan sempadan daerah Gua Musang dan Kuala Krai.

    Seorang penduduk, Rose Bolek, 49, berkata ekoran air tadahan bukit atau air tandak mengering, rata-rata penduduk terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.

    “Air di rumah semakin kering, kalau ada hujan masa itulah baru ada air. Jadi, kami akan simpan air hujan dan terpaksa ke Sungai Lebir untuk mendapatkan air meskipun air di sana kotor apabila kehabisan air yang disimpan.

    “Saya juga mengehadkan anak-anak bermain di luar rumah kerana cuaca sangat panas,” katanya kepada pemberita di Pos Lebir di sini.

    Bagi Hamzah Pucuk, 60, dia dan penduduk yang lain mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti berkebun apatah lagi untuk ke hutan.

    “Cuaca ketika ini sudah tidak macam dulu apabila rasa sejuk dah tak ada.

    “Kami hanya bekerja hingga 11 pagi sahaja kerana tidak mahu terdedah cuaca panas. Anak-anak saya juga kerap demam,” katanya.

    Halim Lilin, 60, pula berkata selain mengharapkan hujan, mereka juga perlu mencari alternatif bagi mendapatkan air.

    “Selain menunggu dan menadah air hujan di hadapan rumah, penduduk membuat persediaan dengan membeli air mineral di kedai kerana bimbang air tandak kering dan air hujan yang disimpan habis diguna,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda