Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan berterusan panas dan kering dengan pengurangan jumlah serta aktiviti hujan sehingga 27 Julai.
Suhu maksimum harian dijangkakan boleh mencecah antara 33 hingga 38 darjah Celsius, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, hari ini.
Kenyataan menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada di dalam Monsun Barat Daya. Pembentukan ribut tropika yang aktif di rantau Lautan Pasifik Barat dijangka berlaku pada minggu ini.
Keadaan berkenaan akan mengakibatkan kelembapan atmosfera tertumpu ke arah wilayah Timur dan Utara Benua Maritim, berdekatan dengan kawasan sistem-sistem itu.
Keadaan itu dijangka akan menyebabkan keadaan cuaca yang lebih kering berbanding dengan minggu sebelumnya, dengan pengurangan pembentukan awan hujan di rantau negara bagi beberapa hari yang akan datang.
Sejak 21 Julai, Negara Brunei Darussalam telah mengalami cuaca panas melampau di beberapa buah kawasan negara pada waktu siang, di mana suhu maksimum harian yang telah direkodkan di beberapa stesen pencerapan telah mencapai 35 darjah Celsius atau lebih selama tiga hari berturut-turut kebelakangan ini.
Dalam hubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan keselamatan berkaitan dengan keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) telah menyediakan catatan suhu maksimum harian dan juga suhu ‘yang dirasakan’ bagi beberapa buah kawasan di Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan infografik yang dikongsikan melalui media sosial BDMD untuk makluman dan rujukan orang ramai.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk terus mengikuti maklumat cuaca rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan melalui aplikasi bimbit BruneiWX dan media-media sosial BDMD iaitu laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), saluran Whatsapp dan Telegram (Brunei Weather).
Selain itu, maklumat cuaca terkini boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn dan melalui aplikasi bimbit, Brunei WX.
