PASIR PUTEH, 4 JUN – Cuaca panas yang melanda negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini bukan sahaja membuatkan rakyat mudah dahaga, malah turut melonjakkan permintaan terhadap buah tembikai sehingga sekali ganda di Kelantan.
Peniaga buah di Kampung Padang Pak Omar, Selising, Yushairan Hashim, 33, berkata tembikai kini menjadi pilihan utama pelanggan yang ingin melegakan tekak, meskipun harganya mencecah RM3.50 sekilogram.
“Sejak tiga minggu lepas, sambutan terhadap tembikai sangat luar biasa di cawangan kedua gerai kami di sini, mengatasi permintaan buah-buahan lain. Disebabkan itu, saya menambah stok hingga 15 metrik tan untuk beberapa hari jualan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Untuk memastikan bekalan tidak terputus, beliau mendapatkan tembikai dari Johor, Perak dan beberapa negeri lain memandangkan hasil tuaian di Kelantan sudah habis.
Yushairan menjangkakan permintaan tinggi terhadap tembikai akan berterusan sepanjang musim panas yang dijangka berakhir sekitar September.
“Bagi peniaga tembikai, ini tempoh yang amat dinantikan. Keuntungan lebih baik pada musim ini dapat menampung kerugian semasa tempoh lambakan dan kejatuhan harga sebelum ini,” katanya yang memulakan perniagaan buah-buahan di Kok Lanas tiga tahun lepas.
Sementara itu, seorang pekerja di gerai sama, Maziaton Abdullah, 52, berkata beliau tidak menang tangan melayan pelanggan yang mula datang seawal 8 pagi. – Bernama
