WASHINGTON, 23 DIS – Cuaca sejuk melampau yang melanda seluruh Amerika Syarikat (AS) menjejaskan perjalanan percutian menjelang Krismas.
Pusat Perkhidmatan Ramalan Cuaca Kebangsaan semalam menerusi Twitter memaklumkan bahawa ‘berlaku penurunan suhu yang luar biasa dan angin kencang berbahaya dan letusan salji’.
Ribut musim sejuk berkemungkinan besar boleh menjadi taufan, dijangka mencipta rekod suhu rendah pada hujung minggu Krismas di banyak kawasan di AS, lapor Xinhua.
Presiden Joe Biden memberitahu wartawan bahawa Rumah Putih setakat ini telah berhubung dengan 26 gabenor di wilayah yang terjejas.
“Sila ambil perhatian serius terhadap ribut ini. Ini bukan seperti salji biasa…Ini perkara yang serius,” kata beliau.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear menggesa orang ramai supaya mengelak daripada berada di jalan raya kerana negeri itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi cuaca sejuk yang dahsyat.
“Jika awda perlu melakukan perjalanan atas tuntutan kerja, sila ikuti langkah keselamatan dan sediakan kit kenderaan di dalam kereta awda,” tulis Beshear di Twitter.
Semalam, syarikat penerbangan telah membatalkan lebih 2,000 penerbangan keluar dan masuk, menurut FlightAware. – Bernama


