Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca sejuk: Sekolah, pejabat di Iran ditutup

    TEHRAN, 9 FEB – Pihak berkuasa di Iran telah mengumumkan penutupan institusi pendidikan dan pejabat kerajaan di seluruh negara tersebut disebabkan cuaca sejuk, kata laporan media Jumaat lalu.

    Semua sekolah, pusat pendidikan, bank dan pejabat kerajaan di 20 wilayah ditutup kelmarin kerana cuaca sejuk, kata laporan media.

    Selain Tehran, wilayah lain yang terjejas termasuk Azerbaijan Timur dan Barat di timur laut, Kurdistan dan Kermanshah di barat, Gilan di utara, Markazi di tengah Iran dan Kerman di selatan.

    Keputusan itu mengikuti ramalan cuaca yang meramalkan penurunan mendadak dalam suhu.

    Televisyen negara itu meramalkan beberapa wilayah akan mengalami penurunan suhu sehingga 12 darjah Celsius, bermula Jumaat lalu dan berterusan sehingga pertengahan minggu depan.

    Gambar Envato

    Agensi berita rasmi IRNA berkata, suhu purata di ibu negara dijangka berkisar antara enam dan tolak tiga darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang.

    Ia turut memetik pakar meteorologi negeri sebagai berkata beberapa kawasan di barat laut wilayah Ardabil akan mengalami suhu serendah tolak 18 darjah Celsius.

    Cuaca sejuk itu bertepatan dengan salji lebat dan hujan di wilayah barat dan utara Khamis dan Jumaat lalu.

    Pihak berkuasa di wilayah Gilan mengarahkan pemindahan kecemasan tiga kawasan kejiranan bandar Rasht Jumaat lepas apabila tebing sungainya pecah.

    Iran sering melaksanakan penutupan semasa musim sejuk yang melampau dan menyebabkan kekurangan bahan api.

    Disember lalu, Iran menggantung operasi di beberapa loji kuasa berikutan kekurangan bahan api yang hanya meningkat semasa cuaca sejuk kerana permintaan yang meningkat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda