Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Negara Brunei Darussalam kini mengalami cuaca panas luar biasa, dengan suhu harian mencecah sehingga 37°C di beberapa kawasan sejak minggu lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), keadaan ini adalah sebahagian daripada kesan tempoh peralihan monsun. Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan ialah 35°C pada waktu siang dan berlarutan selama tiga hari berturut-turut sejak 5 Mei.
Keadaan ini turut menjejaskan pelbagai aktiviti luar, termasuk latihan larian yang lazim dijalankan pada waktu petang. Komuniti pelari tempatan terpaksa menyesuaikan jadual dan rutin harian mereka.
Seorang pelari rekreasi, Awang Redduandy, yang sedang menjalani latihan trail running, berkata, “Biasanya saya berlari sekitar jam 4:30 petang, tetapi sekarang saya perlu ubah ke awal pagi, sekitar jam 6:00, kerana cuaca terlalu panas. Kalau lambat sedikit, bahang matahari memang memenatkan.”

Sementara itu, pelari aktif Dayang Nur Farazida binti Abdullah turut berkongsi langkah berjaga-jaga, “Saya pastikan minum air secukupnya sebelum dan selepas larian.
Kadang-kadang saya kurangkan jarak larian daripada 10 kilometer kepada 5 atau 6 kilometer sahaja.”

Seorang lagi pelari jarak jauh yang juga penulis Media Permata menasihatkan agar lebih berwaspada, terutamanya dalam pemilihan pakaian dan kelengkapan. Katanya, “Suhu sekarang memang mencabar. Saya kini membawa air semasa berlari dan memakai pelindung kepala untuk elak strok haba. Kesihatan lebih utama.”