Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Dua ribut tropika telah dikesan iaitu Ma-On
dan Tokage yang masing-masing jauhnya sekitar 1,635km dan 4,631km dari Negara Brunei Darussalam pada pukul 11 pagi ini.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, ribut tropika Ma-On berada pada koordinat 17.3°N 122.2°E, di kawasan timur Laut Filipina manakala Tokage berada pada koordinat 29.1°N 150.3°E, di kawasan tenggara Jepun.
Ribut Ma-On diramalkan bergerak ke arah barat laut manakala Tokage pula diramalkan bergerak ke arah timur laut yang mana kedua-dua ribut tropika ini dijangka bergerak menjauhi negara Brunei.
BDMD juga menjelaskan, Tokage tidak akan memberi kesan terhadap cuaca negara ini, tetapi ribut Ma-On secara tidak langsung akan menyebabkan keadaan cuaca negara menjadi tidak menentu pada minggu ini, terutamanya pada 24 dan 25 Ogos.
Bagaimanapun, pada amnya keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang kerana negara pada ketika ini berada dalam monsun barat daya.
Sementara itu, hujan atau hujan berpetir sekali-sekala dijangka akan melintasi kawasan darat dan perairan negara terutamanya pada waktu malam hingga ke awal pagi.
Hujan dijangka sekali-sekala lebat berserta angin kencang dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj dan keadaan laut pada amnya di paras sedikit dengan ketinggian ombak di antara 0.4 hingga 0.8m.
Sehubungan itu, jabatan turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan kejadian air pasang selain tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku ketika hujan lebat dan keadaan berangin.