Cuai: pengendali bot tanpa lesen dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Seorang lelaki warga Malaysia yang mengaku bersalah mengendalikan bot tambang secara cuai sehingga membahayakan nyawa orang lain dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar semasa menjatuhkan hukuman terhadap Asri bin Taram, 34, berkata hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan sebagai satu ‘teguran’ buat semua pengendali bot supaya mereka mematuhi undang-undang dan peraturan dalam memastikan keselamatan pengendali bot itu sendiri dan juga penumpangnya.

Ketua majistret turut memerintahkan untuk bot tertuduh dirampas dan diserahkan kepada kerajaan.

Dalam kejadian pada 25 Disember 2019 kira-kira jam 12 tengah hari di jeti Sungai Lampai, tertuduh yang mengendalikan teksi air tanpa le-sen, mengetahui bahawa botnya tidak dapat menampung ramai penumpang dan dia juga gagal menyediakan jaket keselamatan, telah menawarkan khidmatnya kepada tujuh orang pelancong.

Bot yang terlebih muatan itu menjadi tidak stabil dan karam sebaik berlepas dari jeti.
Sebahagian daripada pe-numpang sempat melompat ke jeti dan selebihnya terpaksa berenang kembali ke jeti.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohammad Hussin Ali bin Idris.

Pejabat Peguam Negara mengingatkan pengendali bot tambang untuk mematuhi undang-undang negara ini, termasuk mendaftarkan bot mereka dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dan mendapatkan lesen sah.