HAVANA – Penularan wabak COVID-19 meningkatkan kesedaran dalam diri kita betapa pentingnya melindungi diri dan orang di sekeliling kita.
Mengikuti setiap langkah-langkah yang dapat mencegah jangkitannya seperti melakukan penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan memakai alat perlindungan kesihatan.
Sehinggakan kita sanggup melakukan apa saja demi menjaga orang yang kita sayangi seperti membuat sendiri penutup mulut dan hidung. Malah dorongan ini dihangatkan lagi dengan sekatan peralatan pelindung kesihatan memasuki negara. Sebagaimana Iraida Hernandez, 87, tidak disangka akan kembali ke mesin jahit lamanya pada usia tuanya, tetapi keperluan untuk melindungi keluarganya, membuatkan dia berdepan gulungan benang dan potongan kain.
Suri rumah, yang tinggal di pinggiran Havana, membuat penutup mulut dan hidung untuk melindungi saudara-mara dan jirannya daripada COVID-19.
“Yang pertama sekali saya buat adalah terutamanya untuk menjaga cucu dan keluarga saya, tetapi kemudian orang-orang di kawasan itu meminta bantuan saya. Dalam situasi sekarang wabak COVID-19, saya tidak dapat menolak permintaan seperti ini,” katanya kepada media.
Hernandez belajar menjahit pada awal 1970an semasa Bengkel Komuniti Menjahit yang diadakan oleh Persekutuan Wanita Cuba, sebuah organisasi sosial yang bertujuan untuk mempertahankan hak dan pembebasan wanita di pulau itu.
“Kualiti topeng muka buatan sendiri banyak bergantung pada peletakan tiga lapisan kain dengan benar. Ini berfungsi sebagai alternatif untuk melindungi kita daripada virus kerana penutup mulut dan hidung yang asli digunakan terutama di hospital,” kata Hernandez, sambil mengoperasi mesinnya yang berdebu.
Hernandez tidak berkeseorangan. Anaknya, Ruben Ruiz, juruteknik pembinaan awam, juga membuat pelindung muka perubatan dengan menggunakan bahan kitar semula.
Ruiz, 60, mengatakan kepada media bahawa dia selalunya suka berinovasi, dan hari-hari mengasingkan diri di rumah kerana pandemik mendorong kreativitinya untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk orang ramai.
Ruben memberikan pelindung wajah yang dibuatnya ke Hospital Pengajaran dan Pembelajaran Miguel Enriquez di Havana untuk doktor dan jururawat yang bekerja di unit kecemasan.
Usaha Hernandez dan Ruiz mungkin bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi ia membantu tanah air mereka untuk mengurangkan kesan sekatan AS, yang menghalang import bekalan perubatan penting untuk memerangi wabak itu.
Raul Ruiz, anak lelaki Hernandez yang lain, tidak membuat bekalan perubatan seperti yang dilakukan oleh ibu dan abangnya, tetapi memberikan kuliah dalam talian kepada pelajarnya yang sedang bersiap untuk menghadapi peperiksaan akhir di Institut Pedagogi Enrique Jose Varona.
Raul, yang telah mengkaji perang biologi AS terhadap Cuba, mengatakan bahawa serangan Washington terhadap kesihatan rakyat Cuba bukanlah sesuatu yang baharu. Profesor sejarah itu juga menggunakan media sosial untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya mengingat senarai panjang pencerobohan AS terhadap revolusi Cuba.
“Tidak mungkin kita lupa terhadap organisasi kontra-revolusi pada tahun 1981, yang dilatih dan dibiayai oleh Badan Perisikan Pusat AS, memperkenalkan demam denggi berdarah ke Cuba, yang membunuh lebih dari 100 kanak-kanak. Ini telah menjadi sebahagian daripada kisah panjang dan kejam,” katanya.
Kerajaan Cuba baru-baru ini mengecam dasar Washington untuk membatasi tindak balas Cuba terhadap COVID-19 dengan menyekat bantuan antarabangsa yang ditawarkan oleh negara-negara sahabat dan organisasi perpaduan.
Beberapa minggu yang lalu, Yayasan Alibaba China gagal mengirimkan sejumlah penutup mulut dan hidung dan alat ujian pantas ke pulau itu, kerana sebuah syarikat kargo AS yang disewa untuk membawa penghantaran enggan mengangkut sumbangan itu.
Sebagai tindak balas terhadap tindakan sekatan baharu yang diambil oleh AS ke atas pulau itu, Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel mengulangi bahawa sekatan AS terhadap negaranya melanggar hak asasi manusia Cuba dengan menghalang ketibaan bantuan kemanusiaan dari China.
“Menyentuh tentang bekalan perubatan, had yang dikenakan oleh AS sangat kuat kerana syarikat farmaseutikal dikenakan pemerasan, oleh itu mereka lebih suka tidak terlibat dalam perjanjian dengan pulau ini,” kata pengulas politik Cuba Anisley Torres kepada media.
“Penentangan antarabangsa berikutan sekatan ekonomi AS terhadap negara-negara seperti Venezuela, Iran dan Nicaragua telah meningkat, kerana kerajaan-kerajaan ini enggan tunduk kepada pengaruh Washington,” tambahnya. Walaupun ada sekatan AS terhadap Cuba, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital di pusat perubatan COVID-19 dan di bawah pengawasan epidemiologi di negara Amerika Latin terus menurun.
Setakat ini, Cuba mempunyai 1,983 kes COVID-19 yang disahkan dan jumlah kematiannya mencapai 82 kes, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins. – Xinhua