Aku tidak pernah menyangka yang berubah ke arah lebih baik akan terasa begitu sunyi dan seberat ini. Dahulu, aku antara yang paling lantang bila berkumpul. Gelak tawa, usik-mengusik, lepak sampai larut malam, itu semua sebahagian dari hidup aku. Tapi kini, sejak aku memilih untuk berubah, mereka semua perlahan-lahan menjauh.
Perubahan aku bukan drastik. Aku masih aku. Cuma aku mula menjaga aurat, cuba solat awal waktu, dan elakkan gosip atau perbualan sia-sia. Aku masih senyum, masih menyapa, masih mahu berkawan seperti biasa. Tapi suasana sudah lain.
Ada yang mula tidak menegur. Ada yang buat-buat tidak nampak. Ada yang bergurau, “Ish, jangan duduk dekat, nanti kita semua kena dakwah.” Aku ketawa kecil, walau dalam hati terasa sayu. Bukankah dulu kita sama-sama bincang tentang nak jadi lebih baik?
Kadang-kala aku rindu. Rindu duduk ramai-ramai, kongsi cerita, gelak sama-sama. Tapi sekarang, aku cuma jadi pemerhati dari jauh. Aku faham, mungkin mereka rasa aku bukan lagi sebahagian dari mereka. Tapi siapa yang tinggalkan siapa?
Ada pula kawan aku yang cuba hasut aku. Mereka kata aku terlampau muda untuk berubah jadi ‘alim’, masih banyak masa untuk bertaubat. “Kau masih muda. Enjoy dulu, nanti dah tua baru berubah. Masih banyak masa lagi.”
Aku tidak pernah anggap diri ini lebih suci, lebih baik. Aku cuma cuba perbaiki diri. Cuba jaga tanggungjawab sebagai hamba Allah. Tapi dalam proses itu, aku kehilangan banyak, terutama persahabatan yang pernah aku hargai.
Namun aku tidak akan patah balik. Aku tahu jalan ini bukan mudah. Tapi aku yakin, kalau aku terus ikhlas, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik, rakan yang terima aku seadanya, yang menyokong perubahan aku, bukan yang menjauh kerana aku cuba taat.
Naim

NASIHAT DANG MP
Terima Kasih Naim kerana sudi menulis kepada Media Permata. Perjalanan untuk menjadi insan yang lebih baik memang sering datang bersama ujian. Ia bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari dalam. Bila kita mula melangkah ke arah kebaikan, secara tidak langsung kita keluar dari zon selesa yang telah lama kita kenali. Rutin berubah, pergaulan berubah, dan sayangnya, hubungan juga ada yang mula renggang.
Apa yang Naim rasa seperti kehilangan, sunyi, rindu pada kawan lama – adalah fitrah bagi manusia biasa. Namun, perubahan yang Naim lakukan bukan untuk menunjuk, tapi untuk taat. Itu perbezaan besar yang orang sekeliling kadang tak nampak. Mereka mungkin belum bersedia, dan kehadiran Naim yang cuba berubah mengingatkan mereka pada sesuatu yang belum mereka sanggup hadapi – diri mereka sendiri.
Jangan biarkan sindiran atau penolakan mematahkan semangat. Orang yang menjauh bukan semestinya membenci. Mungkin mereka belum memahami. Dan jika benar mereka menjauh kerana Naim memilih kebaikan, maka ketahuilah, bukan Naim yang kehilangan mereka tapi mereka yang kehilangan peluang untuk menyokong sesuatu yang mulia.
Kebaikan yang ikhlas, walau sunyi, tidak pernah sia-sia. Teruskan berjalan perlahan-lahan, tanpa perlu menjelaskan semuanya. Allah Maha Melihat setiap langkah dan niat yang tulus.
Dan ya, Dia pasti akan gantikan apa yang hilang dengan sesuatu yang lebih bernilai.
Bersabarlah, kerana jalan taubat dan kebaikan mungkin sempit di awalnya, tapi luas dan tenang di akhirnya.









