Wednesday, February 26, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuba seludup kokain di bawah rambut palsu

    MEXICO CITY, 26 FEB – Pihak berkuasa Colombia menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Cartagena baru-baru ini kerana cuba menaiki penerbangan ke Belanda dengan 19 paket dadah tersembunyi di bawah rambut palsunya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Lelaki warga Colombia berusia 40 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan di lapangan terbang ketika cuba menaiki penerbangan ke Amsterdam, menurut kenyataan polis.

    Menurut polis hasil daripada pemeriksaan bahan yang ditemukan di bawah rambut palsu itu disahkan sebagai kokain, dianggarkan bersamaan kira-kira 400 dos dengan nilai pasaran sekitar AS$10,500.

    Polis Colombia memaklumkan bahawa lelaki itu sebelum ini pernah dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan penyeludupan dadah. Dia kini akan didakwa atas kesalahan mengedar, mengeluarkan dan memiliki bahan terlarang.

    Pegawai Polis Metropolitan Cartagena, Gelver Yecid Peña Araque berkata lebih 450 individu telah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah sejak awal tahun ini, manakala lebih 115 kilogram dadah telah dirampas, termasuk ganja, pes kokain dan kokain.

    Tahun lepas, sebanyak 848.5 tan kokain dirampas di Colombia, jumlah tertinggi pernah direkodkan dan meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Selepas Amerika Syarikat, Eropah merupakan pasaran terbesar bagi kokain yang berasal dari Colombia, Peru dan Bolivia. Lebih 300 tan kokain dirampas di pelabuhan Eropah sepanjang 2023. –Bernama/dpa

    Seorang lelaki cuba seludup kokain di bawah rambut palsu ditahan. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda