Thursday, January 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuba umum pembebasan 553 banduan susulan pengumuman AS

    MEXICO CITY, 15 JAN – Kerajaan Cuba pada Selasa akan membebaskan 553 banduan selepas pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk mengeluarkan negara itu daripada senarai penaja keganasan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Menteri Luar Cuba, Bruno Rodríguez berkata keputusan AS itu dianggap langkah ke arah yang betul, namun disifatkan terlewat dan terhad.

    “Cuba tidak sepatutnya dimasukkan dalam senarai penaja keganasan yang dibuat secara sewenang-wenangnya.

    “Tindakan itu adalah penetapan yang bermotif politik dan sewenang-wenangnya, dengan kesan serius terhadap rakyat Cuba, menjejaskan ekonomi, menyebabkan kekurangan bekalan dan mendorong penghijrahan ke AS.

    “Penganiayaan terhadap bekalan bahan api, program kerjasama perubatan, transaksi kewangan dan perdagangan, pelancongan, perjalanan rakyat AS serta apa sahaja yang menjadi sumber pendapatan kepada rakyat kami masih berterusan,” kata Rodriguez di platform X.

    Gambar Canva

    Beliau turut menyeru agar sekatan perdagangan AS ke atas Cuba sejak 1962 ditamatkan.
    Sementara itu, pembebasan 553 banduan yang disabitkan dengan pelbagai jenayah itu akan dilakukan secara berpe-ringkat, menurut Kementerian Luar Cuba.

    Keputusan Presiden Joe Biden untuk membatalkan penyenaraian Cuba sebagai penaja keganasan dibuat pada penghujung pentadbirannya.

    Langkah itu dilihat lebih bersifat simbolik dan perlu disemak semula oleh Kongres.

    Pengganti Biden, Donald Trump meletakkan Cuba kembali dalam senarai itu sejurus sebelum penggal pertamanya berakhir pada 2021.

    Beliau dijangka boleh membatalkan keputusan Biden sejurus pelantikannya semula pada Isnin ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda