Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan bangun pusat penipuan gagal

    ALOR SETAR, 29 April – Polis Kedah menggagalkan cubaan sekumpulan warga asing dan tempatan yang cuba membangunkan sebuah pusat operasi bagi menjalankan aktiviti kes penipuan ‘Macau scam’ dan penipuan pinjaman tidak wujud di sekitar negeri ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Supt Chan Teck Paing berkata ia susulan serbuan ke atas sebuah kondominium dekat sini pada 12 tengah hari Rabu lalu yang dijalankan pasukan JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Kota Setar.

    Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dan tiga lagi lelaki warga asing dipercayai dalang kepada sindiket itu yang memasuki Malaysia menggunakan permit melancong, kesemuanya berumur 20 hingga 37 tahun.

    “Daripada tangkapan tersebut, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan kerana disyaki terlibat mencari akaun bank ‘keldai akaun’ untuk kegunaan sindiket ini dalam penerimaan wang hasil penipuan,” katanya dalam sidang media di IPK Kedah di sini hari ini. Pihaknya turut merampas barangan bernilai RM15,000 termasuk komputer, komputer riba, kad sim tempatan, telefon bimbit serta kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipercayai akan digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu.

    Menurutnya sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, polis merekodkan 28 kes penipuan membabitkan ‘Macau scam’ bernilai lebih setengah juta dan 50 kes penipuan pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian RM240,000.

    “Sepanjang tahun 2017 pula, polis merekodkan 158 kes ‘Macau scam’ dengan jumlah kerugian RM4.1 juta dan 241 kes penipuan pinjaman tidak wujud membabitkan nilai kerugian RM1.2 juta,” katanya.

    Sehubungan itu, pihaknya menyarankan orang ramai agar membuat semakan bagi mengetahui sama ada akaun bank yang bakal dibuat pembayaran pernah terlibat dalam kes jenayah komersial atau tidak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda