Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan menyeludup digagalkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berhasil menggagalkan dua percubaan kegiatan penyeludupan barangan tegahan di kawasan Laut Menunggol dan kawasan Kampung Pelambayan, Daerah Brunei dan Muara.

    Kejadian pertama berlaku pada 29 Julai lalu, di mana pihak PPDB bersama Penguatkuasa Undang-undang Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPABD) telah menjalankan Operasi Sepadu di kawasan Laut Menunggol dan berhasil menahan sebuah bot yang mencurigakan.

    Hasil daripada pemeriksaan terhadap bot tersebut, pihak berkuasa telah menemukan sebanyak 227 karton rokok pelbagai jenis.

    Semasa operasi tersebut, pihak berkuasa juga telah menahan dua suspek iaitu seorang pemandu dan penumpangnya.

    Pemandu ditahan bernama Haji Hussin bin Haji Timbang, 72, bekerja sendiri dan penumpangnya seorang remaja lelaki yang masih bersekolah berumur 18 tahun. Kejadian kedua berlaku pada 30 Julai semasa rondaan di kawasan Laut Kampung Serdang, di mana pihak berkuasa telah menemui sebuah bot yang mencurigakan sedang berlabuh.

    Apabila dihampiri, pemandu bot berkenaan telah melarikan diri ke kawasan air cetek di Kampung Pelambayan dan meninggalkan perahunya dengan 664 karton rokok pelbagai jenis di dalamnya.

    Kesemua barang tegahan dibawa ke Polis Marin dan siasatan kes dipindahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda