Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup 1,200 burung terancam digagalkan

    KUPANG, INDONESIA, 13 JULAI – Pihak berkuasa Indonesia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 1,200 ekor burung Javan white-eye yang diiktiraf sebagai spesies terancam, selepas haiwan itu ditemui disumbat dalam beberapa sangkar, menurut kenyataan hari ini.

    Spesies burung nyanyian yang popular itu telah disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan dilindungi di bawah undang-undang Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.

    Pegawai penguat kuasa menemui lapan sangkar yang dipenuhi burung tersebut di sebuah pelabuhan di Pulau Flores, timur Indonesia, pada Jumaat lalu – dengan 140 daripadanya didapati mati, kata pegawai agensi pemuliharaan wilayah, Joko Waluyo.

    “Suspek dipercayai membawa sejumlah 1,260 ekor burung Javan white-eye dalam lapan sangkar burung. Daripada jumlah itu, 140 ekor ditemui mati,” ujar Joko.

    Gambar Freepik

    Burung-burung yang masih hidup telah dilepaskan semula ke habitat asal mereka.

    “Tujuan pelepasan ini adalah untuk menyelamatkan burung-burung yang berjaya diselamatkan, meningkatkan populasi semula jadi dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya perlindungan spesies terancam,” tambahnya.

    Di bawah undang-undang Indonesia, kegiatan memburu atau memperdagangkan spesies dilindungi boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

    Aktiviti perdagangan haram hidupan liar dan kehilangan habitat di Indonesia telah menyebabkan banyak spesies, termasuk gajah Sumatera dan orang utan, semakin menghampiri kepupusan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda