Oleh Sim Y. H
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menggagalkan satu percubaan untuk membawa masuk barang yang tidak diisytiharkan melalui perairan negara ini pada 3 April lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, menyatakan dalam kejadian pada sebelah petang berkenaan, sebuah perahu yang mencurigakan telah dikesan oleh peronda POLMAR bergerak menyusuri persisiran Tanjung Kindana sarat dengan muatan pukat menuju ke kawasan perairan Kampung Sungai Bunga.
Peronda POLMAR kemudiannya memintas perahu berkenaan bagi tujuan pemeriksaan.
Menyedari kehadiran agensi penguat kuasa, dua orang suspek kemudiannya memberhentikan perahu lalu bertindak terjun ke dalam air dan melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran. Usaha untuk mengesan suspek-suspek berkenaan telah digerakkan dan turut dibantu oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pemeriksaan dan siasatan awal ke atas perahu mendapati beberapa kotak hitam yang ditutup dengan pukat ikan. Hasil siasatan lanjut mengesahkan bahawa perahu berkenaan membawa barangan tegahan iaitu 1,250 karton rokok pelbagai jenama.
Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Kesemua barang rampasan termasuk perahu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pasukan keselamatan akan terus mempergiatkan lagi rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negara ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.
PPDB juga menyeru orang ramai supaya melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang khususnya di kawasan perairan, demi memastikan keamanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam.

