Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Sebanyak 900 karton rokok, 10 paket rokok, 24 botol dan 95 tin minuman keras pelbagai jenis berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (POLMAR), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa dua operasi bersepadu yang dijalankan serentak di kawasan perairan negara, baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan PPDB, operasi tersebut turut melibatkan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan dilaksanakan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Dalam operasi pertama yang dijalankan awal pagi, sebuah perahu mencurigakan telah dikesan memasuki perairan Sungai Riong.
Bot Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan bot peronda POLMAR segera bertindak memintas bot berkenaan. Suspek bertindak agresif dengan melanggar jeti dan melarikan diri ke arah sempadan, menyebabkan sebahagian barang tegahan terjatuh ke dalam air. Pemeriksaan lanjut menemui 200 karton dan sembilan paket rokok pelbagai jenis.
Manakala dalam operasi kedua di Sungai Bunga, satu lagi bot mencurigakan berjaya dipintas di kawasan perumahan kampung.
Suspek melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan menghilangkan diri di kawasan hutan bakau. Pemeriksaan ke atas bot menemui 700 karton dan satu paket rokok pelbagai jenis, serta 24 botol dan 95 tin minuman keras pelbagai jenama.
Semua barang tegahan yang dirampas telah diserahkan kepada pihak JKED untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais 2006.
Pihak berkuasa menegaskan komitmen berterusan dalam mempertingkatkan kawalan dan rondaan di perairan negara, selain menghargai kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan penyeludupan.



