Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Percubaan membawa masuk barang-barang tegahan melalui perairan Brunei berjaya dipatahkan apabila sebanyak 600 karton rokok pelbagai jenis, 156 botol dan 240 tin minuman keras, 10 kilogram sayap ayam mentah serta 8.78 kilogram hati buyah dirampas dalam operasi sepadu baru-baru ini.
Rampasan berkenaan dilakukan oleh Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kerjasama erat bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Operasi dijalankan pada awal pagi 27 Jun, selepas pasukan penguat kuasa mengesan sebuah perahu mencurigakan bergerak laju di perairan Brunei sebelum memasuki anak sungai berhampiran penurunan perahu Pangkalan Sibabau, Kampung Mentiri.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati perahu terbabit ditinggalkan di sebuah pondok tanpa pemandu. Pemeriksaan lanjut ke atas perahu menemui beberapa kotak yang mengandungi barang-barang tegahan berkenaan.
Perahu bersama barang-barang tegahan telah diserahkan kepada JKED untuk tindakan lanjut.
PPDB dalam kenyataan lanjut menegaskan bahawa mereka, bersama agensi-agensi penguat kuasa lain, akan terus memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara melalui rondaan harian dan operasi bersepadu secara berterusan.


