Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 2 JULAI – Seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun telah ditahan manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan, setelah cubaan mereka membawa masuk sebanyak 500 karton rokok pelbagai jenis berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi bersama.
Penahanan berkenaan dilakukan oleh anggota Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), susulan maklumat awam mengenai kehadiran sebuah kenderaan mencurigakan yang berada di kawasan Kampung Batu Apoi, Temburong pada malam 30 Jun.
Cubaan menahan kenderaan berkenaan pada awalnya dilakukan oleh anggota dari Balai Polis Bangar di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, namun pemandu enggan berhenti, sekali gus mencetuskan adegan kejar-mengejar yang berakhir di Kampung Serdang, Bandar Seri Begawan.
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok yang dipercayai diseludup tanpa kebenaran yang sah, melibatkan rokok pelbagai jenama, dipercayai untuk tujuan pasaran gelap.
Suspek dan barang rampasan kemudiannya telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan barangan tegahan.
Dalam kenyataan rasmi, PPDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang telah disalurkan sehingga berjaya menggagalkan cubaan aktiviti penyeludupan berkenaan.
PPDB juga menyeru kepada seluruh masyarakat agar terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan atau menyalahi undang-undang, dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis
berdekatan.