Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup gagal, 2 warga tempatan ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    TEMBURONG, 28 SEPT – Sebanyak 24 botol, 53tin minuman keras dan 180 karton rokok berjaya dirampas oleh Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di daerah itu.

    Dalam kejadian pertama yang berlaku sekitar pukul 11 malam pada 26 September, hasil daripada risikan dan pemantauan anggota Balai Polis Bangar, sepasukan anggota telah berjaya mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Batang Tuau.

    Kedua-dua kenderaan itu telah berjaya ditahan bersama dua orang lelaki warga tempatan berumur 25 dan 26 tahun.

    Pemeriksaan lanjut telah mendapati kenderaan berkenaan membawa barang-barang tidak diisytiharkan, iaitu sebanyak 24 botol dan 53 tin minuman keras serta 80 karton rokok.

    GAMBAR SERAHAN PPDB

     Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira pukul 8 pagi pada 27 September, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bungkusan kotak di kawasan Bangunan Padang dan Balapan Kompleks Sukan Temburong.

    Pemeriksaan teliti menemukan dua kotak yang dipercayai mengandungi barang tegahan, dan hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan kotak-kotak tersebut berisi 100 karton rokok.

    Kesemua suspek serta barang rampasan daripada kedua-dua kejadian berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau pengedaran barang tegahan.

    Tindakan berterusan dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda