Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup hati buyah, rokok berjaya digagalkan

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    TEMBURONG, 18 JULAI – Sebanyak 21 kotak hati buyah mentah jenama LIKA seberat kira-kira 206 kilogram serta satu paket rokok telah dirampas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu operasi pemantauan dan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh Balai Polis Bangar, di kawasan Bangar, daerah Temburong, pada petang kelmarin.

    Rampasan berkenaan melibatkan penahanan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 35 tahun, selepas sebuah kenderaan mencurigakan dikesan di kawasan Bangar dan berjaya diberhentikan di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), KM10.2 arah menuju ke Bandar Seri Begawan (BSB).

    Pemeriksaan awal ke atas kenderaan tersebut menemui beberapa kotak plastik berwarna hitam yang dipercayai mengandungi barang-barang tegahan. Kenderaan dan suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut.

    Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu telah membawa 21 kotak hati buyah mentah yang tidak diisytiharkan iaitu sekitar 206 kilogram serta 1 paket rokok, dipercayai untuk tujuan penyeludupan.

    Kesemua barang bukti bersama suspek telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut mengikut perundangan yang berkuat kuasa.

    PPDB turut menegaskan, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan dan pemilikan barang tegahan.

    Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh membahayakan keselamatan diri, keluarga serta masyarakat.

    Atas & bawah: Barang-barang tegahan yang telah berjaya dirampas oleh pihak PPDB. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda